BARU berusia 23 tahun, siapa sangka nama Tissa Biani sudah mekar, bukan sahaja di bumi kelahirannya, Indonesia, tetapi turut menebarkan wangi sehingga ke gelanggang perfileman Malaysia.
Si genit berjiwa besar itu membuktikan bahawa bakat dan kesungguhan mampu menembusi sempadan dua negara.
Menariknya, Tissa pernah mencuri perhatian peminat tempatan menerusi penampilan singkatnya dalam filem epik Malaysia, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, sekali gus menandakan kemunculan perdananya di sini.
Berkongsi lanjut, pemilik nama lengkap Tissa Biani Azzahra berharap dapat melebarkan lagi sayap di Malaysia selepas merasakan pengalaman penggambaran di negara ini begitu menyenangkan.
“Saya pernah berlakon dalam Pendekar Awang, tapi babaknya tidak banyak. Mungkin selepas ini saya mahu lebih banyak lagi terlibat dalam projek di Malaysia.
“Saya tak menutup kemungkinan seperti itu kerana saya rasa mudah bekerja dengan kru dan pelakon Malaysia.
“Walaupun penggambaran selama tiga bulan penuh dengan adegan aksi, saya sangat gembira kerana semuanya orang baik dan profesional,” katanya kepada HibGlam.
Bintang yang turut dikenali menerusi filem Norma: Antara Mertua dan Menantu itu menyambut baik hubungan dua hala antara industri hiburan Indonesia dan Malaysia yang semakin kukuh dan terbuka.
“Ramai orang Malaysia yang berkarier di sana (Indonesia) seperti Fazura, Bront Palarae dan Anna Jobling.
“Saya seronok melihat semakin banyak peluang kerjasama antara dua negara ini.
“Jadi, saya menyokong jika selepas ini lebih ramai pelakon Indonesia dapat beraksi di Malaysia pula,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih di ibu negara.
Bahasa Sunda
Berkongsi mengenai Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih, Tissa menerima cabaran besar iaitu mempelajari bahasa Sunda yang bukan merupakan bahasa ibundanya.
“Saya sebenarnya orang Jawa, bukan Sunda. Jadi ketika ditawarkan berlakon dalam Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih, saya perlu belajar bercakap dalam bahasa Sunda.
“Selama tujuh hari saya berlatih intensif bersama jurulatih bahasa, selain sesi bacaan skrip selama sebulan,” tuturnya.
Bercerita tentang penglibatannya dalam filem arahan Benni Setiawan itu, Tissa menyifatkan naskhah berkenaan sebagai karya penuh emosi, sarat dengan nilai kemanusiaan dan dekat dengan pengalaman hidup setiap insan.
“Saya sangat berpuas hati dengan lakonan saya dan rasa filem ini wajib ditonton warga Malaysia kerana ada kesedihan yang mengundang air mata, ada humor yang menceriakan.
“Sebagai manusia, kita pasti pernah berada dalam situasi ‘dilanjutkan salah, disudahi perih’ sama ada dengan pasangan, sahabat atau ketika membuat keputusan besar dalam hidup.
“Jadi saya rasa cerita ini pasti berkait sama banyak orang, khususnya saya dalam memutuskan sesuatu, pasti ada kalanya kita bimbanglah,” ujarnya.
Filem edaran Horizon Film Entertainment tersebut mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 2 Oktober lalu.
Diterbitkan Soex Entertainment, Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih turut dibintangi Kevin Ardilova, Mikha Tambayong dan Ibrahim Risyad.