JOHOR BAHRU – Jenazah Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd. Ali, penuntut Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kolej kediamannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Cahaya Masai, Pasir Gudang pada pukul 6.20 petang tadi.
Upacara pengebumian Allahyarham yang dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan-rakannya termasuk dari universiti awam berkenaan bertambah pilu apabila hujan renyai turun sebaik sahaja jenazah Allahyarham selamat dikebumikan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang berusia 22 tahun dan merupakan penuntut tahun akhir di Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam UM tiba di pekarangan tanah perkuburan pada pukul 5.45 petang.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dipetik berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala serta dada dan mangsa juga didapati cedera di bahagian dada, namun tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah. – KOSMO! ONLINE