PETALING JAYA – Pemergian tragis mendiang Yap Shing Xuen bukan sekadar meninggalkan kedukaan mendalam kepada keluarga, malah menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih prihatin terhadap kesejahteraan emosi dan keselamatan anak-anak, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah berkata, jelas sekali hal-hal yang berlaku melibatkan pelajar-pelajar sekolah di negara baru-baru ini menuntut perubahan secara drastik dan holistik sebelum lebih ramai anak-anak menjadi mangsa.
“Kadang-kadang, ada perit yang tidak terucap, ada kosong yang tidak terisi. Tiada kata yang mampu mengungkap derita yang sedang dilalui.
“Kepada Shing Xuen, namamu tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara begini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Nurul Izzah berkata demikian selepas hadir menziarahi keluarga mendiang Shing Xuen bagi menyampaikan ucapan takziah sendiri, dan juga bagi pihak Perdana Menteri dan seluruh warga besar PKR.
Dalam pada itu, beliau turut berjanji akan perjuangkan keadilan untuk Shing Xuen dan keluarganya.
“Sebagai seorang ibu yang juga pernah kehilangan anak, saya terasa pedihnya duka ini tiada pengganti.
“Walaupun tiada apa yang dapat mengubati luka kehilangan, saya berdoa semoga kebenaran yang akan dibongkar dapat menjadi sebuah pelukan, sedikit sebanyak mengubati hati yang sedang terluka,” katanya.
Terdahulu, mendiang Shing Xuen, 16, maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama, di sini Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE