GOMBAK – Harga barangan keperluan sempena perayaan Deepavali tahun ini dilihat jauh lebih murah berbanding harga maksimum yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata pemeriksaan di Pasaraya TF Value Mart Batu Caves hari ini mendapati kebanyakan barangan dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang dibenarkan.
Antara barangan tersebut termasuk daging kambing biri-biri bertulang import dijual pada RM25.99 sekilogram berbanding harga maksimum RM30, bawang merah besar import pada RM1.99 sekilogram (harga maksimum RM4.50), dan tomato pada RM4.59 sekilogram (harga maksimum RM5.50).
“Ini menunjukkan tahap pematuhan yang baik dan pada masa sama membantu pengguna mendapatkan harga yang lebih murah menjelang Deepavali,” katanya.
Beliau berkata, selain SHMMP, pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) turut memberi manfaat kepada pengguna apabila menawarkan barangan keperluan dengan potongan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga asal.
“Sebanyak 124 lokasi PJRM akan diadakan di seluruh Selangor sepanjang tempoh 16 hingga 22 Oktober ini, manakala TF Value Mart turut menyertai program ini dengan menawarkan 27 barangan pada harga menarik,” katanya.
Katanya, setakat 30 September lalu, sebanyak 2,419 jualan PJRM telah diadakan dengan jumlah subsidi hampir RM15 juta, sekali gus membantu meringankan beban rakyat.
Zuhairi menegaskan, prestasi bekalan barangan di seluruh negeri kekal terkawal dan pemeriksaan giat dijalankan bagi memastikan tiada gangguan bekalan sepanjang musim perayaan.-KOSMO! ONLINE.