PETALING JAYA – Seorang ibu kepada tiga orang anak yang sebelum ini tular selepas kisahnya menunggang motosikal bersama anak-anak ketika bekerja sebagai penghantar mendapat perhatian ramai apabila kini bergelar usahawan makanan.
Noryani Syakira Yaakob, 23, sebelum ini bekerja sebagai penghantar Misi, namun diberhentikan oleh pengasas aplikasi tersebut sendiri disebabkan beberapa faktor termasuk soal keselamatan anak-anaknya.
Menerusi perkembangan terbaharu yang dikongsikan pengasas aplikasi penghantaran Misi, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi di Facebook, ibu muda tersebut kini menjalankan perniagaan Gulai Perlis Ayam Goreng Kunyit.
Perniagaan wanita itu turut tersedia di aplikasi Misi untuk tempahan orang ramai sekitar Melaka.
“Orang Melaka, ibu ‘delivery’ 3 anak dah mula berniaga hari ni. Kita mulakan dengan ‘open delivery’ dulu di Misi. Orang Melaka install app (muat turun aplikasi) Misi kemudian cari nama kedai ‘Gulai Perlis Ayam Goreng Kunyit’
“Menu adalah seperti nama kedai sebab ibu ni dari Kuala Perlis, saya memang tahu orang Perlis masak gulai pecah minyak memang sedap, pastu pandai buat sambal belacan,” katanya.
Menurut Ahmad Faiz, harga yang ditawarkan di gerai wanita itu serendah RM5 sebungkus dan perniagaannya dijalankan di kawasan pekarangan rumah bagi memudahkan segala urusan serta persiapan dilakukan.
“Saya tak nak dia hanya berniaga, saya pilih apa yang dia betul-betul pandai masak.. Harga jualan RM5 sebungkus, semua rasa dan cara penyediaan dibimbing oleh akak Founder sendiri supaya semua bersih dan sedap berkualiti.
“Lokasi berniaga kena search (buat carian) di Google map (peta Google) ‘Jurassic Farm Ayer Molek’ di Bukit Lintang,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE