LIVERPOOL – Manchester United dijangka menurunkan skuad sama ketika menewaskan Sunderland 2-0 minggu lalu apabila berkunjung ke Anfield hujung minggu ini, namun Ruben Amorim mungkin terpaksa merehatkan Casemiro.
Kemenangan penting ke atas Sunderland sedikit melegakan tekanan terhadap Amorim dan melonjakkan The Red Devils ke kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), namun cabaran di Anfield tetap menjadi ujian sebenar selepas hampir sedekad gagal menang di sana.
Amorim dijangka mengekalkan Mason Mount dan Senne Lammens dalam kesebelasan utama, tetapi posisi tengah Casemiro masih menjadi tanda tanya selepas dia bermain 90 minit penuh dalam dua aksi persahabatan Brazil di Asia.
Pemain berusia 33 tahun itu mengetuai skuad Samba ketika membelasah Korea Selatan 5-0 sebelum tumpas mengejut 2-3 kepada Jepun pada Selasa lalu, menjadikan tempoh pemulihannya agak singkat menjelang aksi getir menentang Liverpool.
Selain faktor jarak perjalanan dan keletihan fizikal, Amorim dijangka lebih berhati-hati memandangkan Casemiro sebelum ini pernah digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Chelsea.
Bercakap kepada laman rasmi kelab, Casemiro mengakui dia kini memberi tumpuan lebih kepada kekuatan fizikal dalam latihan.
Setakat ini, Casemiro telah beraksi selama 330 minit dalam saingan EPL musim ini, namun Amorim perlu menilai sama ada dia mampu beraksi semula dalam tempoh singkat atau memberi peluang kepada pemain lain seperti Manuel Ugarte dan Kobbie Mainoo. – AGENSI