PETALING JAYA – Kumpulan AmBank melancarkan AmWealth Group Wealth Management (AmWealth) sebagai sebuah jenama pengurusan kekayaan pencetus transformasi yang menggabungkan bahagian pengurusan dana, perbankan persendirian dan kekayaan runcit untuk menawarkan penyelesaian pengurusan kekayaan menyeluruh.
Penyatuan strategik itu menghimpunkan kepakaran dan perkhidmatan subjenama terkemuka di bawah Kumpulan AmBank iaitu AmInvest, AmPrivate Banking dan AmBank Wealth Management & Bancassurance.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, AmWealth membuka lembaran baharu yang menarik untuk memenuhi keperluan kumpulan pelanggan yang pelbagai dan sentiasa berubah.
Jelasnya, ia menawarkan penyelesaian kewangan tersesuai meliputi pengurusan dana, penasihat pelaburan dan perancangan serta perlindungan kewangan.
“Dengan menggabungkan tiga saluran perkhidmatan berbeza, jenama AmWealth di bawah satu platform memastikan pengalaman lancar sambil kami terus mengembangkan pelaburan pelanggan dengan meraih manfaat bersama dalam persekitaran kewangan yang pantas berubah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan, AmBank Group Wealth Management, Goh Wee Peng berkata, AmWealth memudahkan capaian kepada penyelesaian kekayaan meliputi semua segmen termasuk runcit, korporat, pelabur institusi, pelanggan perbankan persendirian dan pelanggan perbankan runcit.
“Sama ada anda pelabur kali pertama, individu bernilai bersih tinggi yang berpengalaman, institusi korporat atau besar, platform bersepadu kami menyediakan bakat dan kepakaran untuk membantu mengembangkan dan melindungi kekayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE