KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dipercayai diserang oleh seorang penyewa lelaki di sebuah kondominium, Jalan Ipoh, di sini Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi pada 13 Oktober lalu, mangsa yang bertugas di pos pengawal kondominium berkenaan telah didatangi oleh seorang lelaki tempatan yang juga penyewa di bangunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek berusia 32 tahun itu meminta bantuan mangsa untuk ke blok lain namun pengawal berkenaan menolak atas alasan tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
“Tindakan itu menyebabkan suspek bertindak agresif dengan menampar muka kiri, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala namun tiada kesan kecederaan luaran, sebelum dibenarkan pulang.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.30 malam pada hari sama, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya.
Katanya, isterinya segera menghubungi ambulans namun pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat dibawa ke HKL untuk bedah siasat yang dijalankan pada 14 Oktober kira-kira pukul 2.30 petang oleh pakar Perubatan Forensik hospital tersebut.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah myocardial infarction due to coronary artery thrombosis (serangan jantung).
“Suspek ditahan pada pukul 4.30 petang hari sama dan direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE