PENYANYI tersohor Indonesia, Afgan kembali ke akar muzik pop yang mempopularkan namanya menerusi single terbaharu berjudul Kacamata.
Menariknya, lagu itu juga menjadi pertaruhan pertama Afgan yang dimuatkan dalam album ketujuhnya bakal dilancarkan tidak lama lagi, Retrospektif.
Selepas tujuh tahun tidak mengeluarkan album berbahasa Indonesia, Retrospektif menjadi simbol kembalinya Afgan ke akar muziknya. Jika dua album terdahulu banyak menampilkan lagu-lagu berbahasa Inggeris, kali ini Afgan kembali dengan sentuhan pop Indonesia yang lebih segar, matang dan berjiwa lokal.
Lagu Kacamata mengekalkan identiti pop yang sinonim dengan Afgan, namun diperkaya dengan elemen R&B moden dan produksi muzik yang lebih kontemporari.
Dari segi tema, lagu tersebut membawa kisah tentang seseorang yang sanggup mengubah diri demi cinta dan akhirnya menyedari bahawa semua pengorbanan itu sia-sia kerana diberikan kepada insan yang salah.
Itu menjadi metafora tentang kehilangan jati diri, pengkhianatan terhadap diri sendiri, serta makna sebenar cinta yang tulus.
Album
Afgan menjelaskan, album Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang ke akar muzik ketika di awal kemunculan.
“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.
Dalam proses kreatif, Afgan bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed.
“Iqbal membawa idea awal berupa melodi yang menarik untuk bahagian korus, yang kemudian dikembangkan bersama hingga siap dalam tempoh hanya dua jam. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga turut berperanan sebagai pengarah vokal di samping menjadi komposer bersama.
“Proses rakaman lagu ini berlangsung pantas, namun teratur yang mana sesi rakaman vokal diselesaikan dalam setengah hari, manakala keseluruhan produksi muzik termasuk proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan,” katanya.
Afgan mengakui tidak sabar untuk memperkenalkan karya berkenaan kepada pendengar dan pencinta muzik yang sudah lama merindukan warna muzik asalnya.
Menurut Afgan, selain membawa simbol perjalanan muziknya, Kacamata juga menyampaikan pesan yang mendalam.
“Jangan terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya yang boleh kita sandarkan hanyalah Tuhan. Lagu ini ibarat peringatan untuk kita semua agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan.
“Dengan ritma yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata ialah lagu yang memberi rasa positif sekali gus membuat pendengar tersenyum di tengah kegalauan, menyedarkan kita bahawa hidup tak selamanya berat, dan mengajak kita menikmati setiap fasa kehidupan,” katanya.
Selain itu, muzik video Kacamata diarahkan oleh Shadtoto Prasetio dan menampilkan konsep visual bernuansa nostalgia era 1990-an minimalis dengan sentuhan moden yang segar.
Dalam video tersebut, Afgan bergandingan dengan pelakon Yuki Kato menerusi adegan permainan catur iaitu simbol perjalanan cinta yang penuh strategi, langkah maju, undur, pertahanan dan pengorbanan.
Menariknya, Kacamata turut menonjolkan permainan gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada kebanyakan karya Afgan terdahulu yang lebih berteraskan piano dan orkestra.
Kacamata sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025. Album Retrospektif bakal dilancarkan secara rasmi pada November 2025.