JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri mengalami kerugian sebanyak RM17,800 akibat terpedaya dengan vendor perkahwinan yang menawarkan bayaran ansuran RM1,000 sebulan bagi menggunakan khidmat mereka.
Setelah pasangan tersebut membuat bayaran penuh, vendor perkahwinan tersebut tidak lagi dapat dihubungi dan telah menghilangkan diri.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Zai, mereka cuba menjejaki vendor perkahwinan berkenaan berpandukan alamat yang diberikan namun premis tersebut sudah kosong dan laporan polis juga telah dibuat pada Jun lalu.
Ketua Exco Perlindungan Pengguna MTPN, Norazrin Amin berkata, Zai dan pasangannya tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan vendor tersebut dalam sebuah ekspo perkahwinan yang dianjurkan di daerah ini, pada tahun lalu.
Norazrin berkata, meskipun gagal menghubungi pihak vendor, Zai tetap melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya pada Julai lalu dengan majlis yang serba sederhana memandangkan kad jemputan telah diedarkan.
Menurutnya, kes yang dialami Zai itu merupakan antara 18 kes penipuan vendor perkahwinan yang diterima pihak MTPN setakat ini. – KOSMO! ONLINE