DALAM era hiburan digital yang semakin pesat, penggabungan antara pemain profesional, bakat kreatif dan peminat dalam satu acara bukan sekadar meraikan kejayaan sesuatu komuniti, tetapi turut memperkukuh hubungan antara dunia e-sukan dan hiburan arus perdana.
Acara sebegini berperanan penting dalam membina ekosistem yang inklusif apabila pemain dapat berinteraksi secara langsung dengan peminat, manakala personaliti media pula menjadi jambatan yang menyatukan kedua-dua dunia ini.
Inisiatif tersebut dapat dilihat menerusi kolaborasi istimewa antara MPL Malaysia (MPLMY) dan Disney yang berlangsung baru-baru ini di TGV 1Utama, IMAX Hall.
Acara eksklusif tayangan perdana filem Tron: Ares berkenaan menghimpunkan lebih 200 pemenang peraduan media sosial MPL yang dipilih berdasarkan jawapan tepat serta perkongsian kreatif mereka tentang mengapa mereka layak memenangi tiket tayangan tersebut.
Acara berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran pasukan e-sukan terkenal, Untitled, yang terdiri daripada Muhammad Razif Sazali (Sizkaa), Muhammad Akmal Hakimin Ghazali (Keymin), Wan Mohamad Danish Safwan Mohd. Sakirin (Subway), Dale Rolan Seña Vidor (Stowm) dan Muhammad Taufiq Hidayat Mohd Ghazali (Stylishzed) di bawah bimbingan jurulatih mereka, Ahmad Fauzan Lutfil Hadi Zainuddin (Lurfill).
Turut memeriahkan suasana ialah barisan bakat popular seperti Pojie, Mars, Reezpiupiu dan Adeen yang menjadi penghubung antara pemain dan peminat dalam suasana penuh mesra.
Kolaborasi ini bukan sahaja membawa dunia maya ke realiti, seperti Tron: Ares menghidupkan pertempuran daripada dunia digital ke dunia sebenar, tetapi juga memperkukuh misi MPL untuk berkembang daripada jenama e-sukan terbesar di Malaysia kepada jenama hiburan atau entertainment IP yang mampu menjangkau pelbagai lapisan penonton.
Melalui acara ini juga, MPLMY dan Disney berjaya membuktikan bahawa e-sukan dan hiburan arus perdana mampu bergabung bagi mencipta pengalaman unik yang menghubungkan komuniti pemain, bakat dan peminat di bawah satu platform yang sama.
Bagi Lurfill, peluang untuk pasukannya bertemu peminat secara bersemuka merupakan pengalaman yang cukup berharga.
“Selepas sekian lama hanya berinteraksi secara dalam talian, akhirnya mereka berpeluang melihat sendiri wajah-wajah yang selama ini menyokong perjalanan mereka dari jauh.
“Lebih-lebih lagi, mereka yang menyokong kami sejak musim lepas dan juga yang baru mengenali kami. Memang rasa dihargai bila tengok ramai yang masih setia.
“Bila ada acara macam ini, kita dapat tengok sendiri siapa yang selama ini sokong kita. Kami rasa terharu melihat mereka sanggup meluangkan masa dengan kami,” katanya kepada K-Remaja.

Dalam masa sama, Lurfill merasakan suasana menonton tayangan bersama peminat sememangnya konsep yang menarik apabila ramai datang bergambar dan bersembang seketika.
Namun, dia turut berharap agar pada masa akan datang, acara seumpama ini dapat disertai dengan lebih banyak aktiviti interaktif serta tempoh masa yang lebih panjang.
“Kalau boleh, mungkin boleh buat macam meet & greet atau aktiviti santai lain. Lagi seronok kalau ada peluang berinteraksi terus dengan peminat, bukan sekadar tengok wayang bersama.
“Tapi ini adalah permulaan yang baik bagi mendekatkan kami dengan komuniti MPL. Sudah tentu ia akan menaikkan lagi semangat kami untuk cemerlang dalam setiap pertandingan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Stylishzed pula berkata, mereka tetap teruja dapat meluangkan masa bersama peminat biarpun hadir ke tayangan berkenaan selepas selesai berentap pada pertandingan MPL Malaysia Musim ke-16 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengalaman menonton filem bersama peminat merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka dan memberi suasana berbeza berbanding sokongan peminat ketika di arena e-sukan.
“Walaupun jadual kami agak padat, tetapi kami tetap teruja berada di sini. Ada beberapa peminat yang kami pernah jumpa sebelum ni, tapi kali ni lain sikit sebab suasananya santai, tengok wayang sama-sama.
“Kalau boleh, buat selalu. Macam tiap-tiap minggu ada aktiviti dengan peminat pun bagus.
“Seronok bila ada peluang untuk berjumpa mereka di luar arena permainan,” tambahnya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, salah seorang peminat pasukan tersebut, Aishah Alwi, sanggup datang dari Pulau Pinang demi melihat pasukan kegemaran secara lebih dekat.
Kongsinya, sebelum ini dia hanya berpeluang melihat atlet e-sukan dari jauh ketika menyaksikan perlawanan di venue rasmi tanpa peluang untuk berinteraksi.
“Saya bertolak dari Pulau Pinang pada awal pagi tadi dan tiba di Kuala Lumpur pada sebelah petang. Saya memang teruja mahu berjumpa dengan pasukan kegemaran.
“Dalam pasukan Untitled, saya memang minat Sizkaa. Jadi saya sangat teruja dapat berjumpa dan bergambar dengan pemain kegemaran secara lebih dekat pada malam tersebut,” katanya.
Seorang lagi pemenang tiket, Aisyah Sushi mengakui sudah bermain Mobile Legends sejak tahun 2017 tetapi hanya mula aktif dalam komuniti MPL sekitar dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, kemenangan tersebut amat mengejutkan kerana tidak menyangka akan menerima dua tiket untuk menghadiri acara itu bersama rakan.
“Bagi saya, menjadi sebahagian daripada komuniti MPL memang sangat bermakna kerana menunjukkan perkembangan dunia e-sukan tempatan yang semakin pesat.
“Saya gembira melihat komuniti ini semakin berkembang setiap tahun dan percaya perubahan ini mencerminkan kematangan serta sokongan kuat daripada para peminat,” katanya.














