BANDAR GAZA – Syarikat teknologi Meta memadam akaun Instagram rasmi wartawan dan aktivis ikonik Gaza, Saleh al-Jafarawi selepas beliau meninggal dunia dalam satu serangan kelmarin, lapor laman berita Drop Site News.
Akaun media sosial Saleh yang mempunyai 4.5 juta pengikut hilang ketika dicari semalam.
Petikan arkib halamannya di Wayback Machine iaitu arkib awam terbesar di internet, juga telah dipadamkan atau dilumpuhkan.
Walaupun tidak jelas bagaimana atau mengapa arkib tersebut lenyap, tindakan itu menimbulkan kebimbangan mengenai pemadaman digital yang lebih luas bagi dokumentasi Palestin.
Saleh yang diikuti secara meluas oleh pengguna media sosial untuk liputannya mengenai perang genosid di Gaza, pernah beberapa kali menghadapi penapisan akaun sebelum dipadam.
Allahyarham meninggal dunia selepas dibunuh kelmarin oleh kumpulan bersenjata yang dilaporkan bekerjasama dengan Israel. – AGENSI