fbpx
Mohd. Khalid pada sidang akhbar Program Kempen Anti Buli di WTC Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Jangan sembunyi fakta kes jenayah di sekolah – Mohd. Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap tindakan pentadbir dan guru yang enggan melaporkan kes jenayah yang berlaku di sekolah kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku.

“Apa-apa kejadian yang membabitkan keselamatan pelajar perlu dilaporkan segera dan jangan cuba menyembunyikan fakta atau kejadian, sebaliknya berkongsi maklumat agar masalah ini dapat diselesaikan di peringkat awal.

“Ini adalah untuk memastikan, ibu bapa juga mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sekolah anak mereka,” katanya dalam sidang akhbar Program Kempen Anti Buli, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad.

Dalam pada itu, Mohd. Khalid turut bersetuju dengan cadangan Mohd. Azam yang meminta pegawai polis membawa ‘patrol car’ bagi menjalankan sesi rondaan berkala pada waktu malam di sekolah berasrama.

“Perkara ini akan diperluaskan dan saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negeri dan Daerah untuk meneruskan tindakan supaya memastikan keselamatan anak-anak yang berada di asrama ini terjamin.

“Tindakan rondaan bersama ‘patrol car’ ini juga akan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pelajar di situ,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Khalid (PDRM) memberi jaminan bahawa sekolah di seluruh negara masih lagi berada dalam keadaan selamat untuk anak-anak.

Menurutnya, meskipun terdapat laporan kes buli serta keganasan fizikal dan seksual, namun kes sedemikian masih lagi kecil berbanding jumlah institusi pendidikan.

Malah, katanya, PDRM sendiri sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan di sekolah selamat dan terjamin untuk semua pihak.

“Jika dilihat secara keseluruhan, sekolah di negara ini masih lagi selamat. Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru.

“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan keselamatan (di sekolah) terjamin. Namun kita tidak menolak kemungkinan pendedahan di media sosial boleh mempengaruhi tindakan individu atau pelajar tertentu,” ujarnya.

Mohd. Khalid turut menasihatkan bahawa ibu bapa memainkan peranan dalam memantau pergerakan anak-anak di luar sekolah.

“Ia termasuklah kawalan dalam penggunaan teknologi dan media sosial supaya mereka ini tidak terpengaruh dengan unsur negatif,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI