fbpx
Gambar hiasan.

Baling tin arak, tumbuk muka polis sebelum ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang lelaki bertindak agresif apabila bukan sahaja membaling tin arak, malah menumbuk muka anggota polis sebelum berjaya ditangkap di Jalan Mempelam, Taman Gembira di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi apabila suspek berusia 28 tahun yang menunggang motosikal Modenas secara melulu bergesel dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, apabila pemandu berhenti untuk memeriksa kerosakan dialami didapati berlaku pertengkaran mulut dengan suspek telah membaling sebuah tin arak ke arah pemandu tersebut.

Katanya, bagaimanapun balingan itu dapat dielak pemandu SUV itu yang kemudiannya segera menghubungi polis untuk bantuan.

“Namun, apabila suspek menyedari kehadiran kereta peronda, dia cuba melarikan diri menggunakan motosikal dan hampir melanggar pemandu SUV itu.

“Berlaku pergelutan ketika membuat tangkapan dan suspek telah menumbuk muka anggota polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan motosikal digunakan telah dirampas polis.

Beliau menambah, semakan mendapati suspek itu mempunyai satu rekod lampau dan kini direman selama tiga hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 279/ 353 Kanun Keseksaan kerana menunggang secara cuai serta menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

“Pegawai penyiasat kini melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI