PUTRAJAYA – Kira-kira 6,000 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan dijangkiti virus influenza, sekali gus mendorong beberapa sekolah mengambil langkah penutupan sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantau perkembangan berkenaan kes tersebut dan akur sekiranya mana-mana sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah sebenar sekolah yang terlibat dengan penutupan akibat jangkitan berkenaan.
“Kita telah minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan untuk bersiap sedia kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 3 November nanti.
“(Setakat ini) kira-kira 6,000 pelajar dikenal pasti berhadapan dengan jangkitan influenza. Namun kes itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah di beberapa negeri,” katanya menerusi sidang akhbar khas di KPM di sini hari ini.
Mohd. Azam berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi semasa penularan jangkitan influenza yang dilaporkan meningkat dan turut membabitkan institusi pendidikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penutupan sekolah dilakukan secara bersasar bergantung kepada tahap penularan dan nasihat daripada PKD.- KOSMO! ONLINE