fbpx
RIZAL ternampak kelibat susuk wanita tua berambut panjang mengurai dengan mata berwarna merah sewaktu bercuti di sebuah rumah panjang di Sarawak. – Ilustrasi Shah Hasan

Pemuda diganggu makhluk misteri di rumah panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERCUTI merupakan salah satu aktiviti yang sering dilakukan pemuda itu sebagai rutin untuk menenangkan fikiran dan menghilangkan stres.

Antara lokasi yang menjadi pilihan adalah kawasan memiliki kehijauan alam atau pantai mendamaikan.

Walaupun kunjungan ke lokasi-lokasi tersebut memberi kedamaian buatnya, namun Rizal (bukan nama sebenar) juga pernah merasai pengalaman seram yang tidak akan dia lupakan seumur hidup.

Dia yang bekerja sebagai seorang guru memaklumkan, pada cuti sekolah baru-baru ini, dia bersama beberapa rakan mengambil keputusan untuk bercuti ke Sarawak.

“Niat kami mudah, hanya ingin merasai sendiri kehidupan masyarakat di rumah panjang dan jauh dari hiruk-pikuk bandar.

“Setelah melalui perjalanan panjang menaiki bot menelusuri sungai, akhirnya kami tiba di sebuah rumah panjang tradisional yang masih mengekalkan keaslian seni bina kayu,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Setibanya di sana, penduduk rumah panjang menyambut mereka dengan mesra.

Kongsinya, pada malam pertama, selepas makan malam, mereka berkumpul di ruai iaitu ruang tengah rumah panjang sambil mendengar cerita daripada orang-orang tua tentang sejarah tempat itu.

“Mereka sempat mengingatkan kami agar menjaga tutur kata dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu ‘penunggu hutan’.

“Kami hanya mengangguk, menganggap ia sekadar kepercayaan lama. Malam semakin larut, kami pun kembali ke bilik tetamu yang disediakan,” ujarnya.

Ketika semua sedang lena, Rizal memberitahu, dia terdengar bunyi gendang yang dipalu perlahan dari hujung rumah panjang.

Suaranya sayup seolah-olah datang dari jauh, namun jelas bukan daripada penghuni rumah itu kerana kesemuanya sedang tidur.

“Saya cuba melelapkan mata, tetapi tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki berlari-lari di luar bilik.

“Mula-mula perlahan, kemudian semakin kuat. Saya menjenguk ke celah-celah dinding kayu, tetapi tiada kelibat sesiapa.

“Bulan penuh pada malam itu membuatkan suasana luar terang dalam samar. Namun, bayang hitam berlari laju di sepanjang anjung rumah panjang sempat saya lihat, biarpun sekilas,” ceritanya.

Katanya, hatinya rasa berdebar, namun dia tetap mendiamkan diri kerana tidak mahu menakutkan rakan-rakannya.

Malam kedua lebih mencemaskan, ketika sedang tidur, Rizal terasa seperti ada sesuatu sedang duduk di hujung kakinya.

Tubuhnya terasa berat, seolah-olah ditindih. Dia cuba membaca doa dalam hati, namun semakin cuba melawan, semakin sukar untuk bernafas.

“Dalam samar cahaya pelita, saya ternampak susuk wanita tua berambut panjang mengurai. Wajahnya kabur, namun matanya merah menyala dan menatap saya.

“Tiba-tiba terdengar bunyi bisikan halus: ‘Kamu tak diundang di sini’. Saya ingin menjerit, tetapi suara tidak keluar.

“Hanya selepas beberapa minit, bayangan itu terus hilang, dan badan saya kembali menjadi ringan,” ujarnya.

Keesokannya, dia menceritakan kejadian itu kepada tuai rumah.

Wajahnya berubah serius, sebelum memaklumkan bahawa rumah panjang itu dibina berdekatan kawasan hutan yang dipercayai menjadi tempat roh berkeliaran.

Katanya, ada tetamu luar yang kadang-kadang ‘diganggu’ kerana tidak menghormati pantang larang.

“Saya tersentak, sebelum teringat yang kami ada bergurau agak keterlaluan pada malam pertama termasuk meniru bunyi burung hutan.

“Sebagai langkah keselamatan, tuai rumah telah melakukan upacara kecil pada petang itu. Dia membakar kemenyan dan membaca mantera untuk menenangkan roh penunggu,” kongsinya.

Pada malam terakhir, Rizal menjadi lebih tenang, namun rasa seram itu tetap menghantuinya setiap kali dia teringatkan wajah merah menyala tersebut.

Sejak pulang dari Sarawak, Rizal sering bermimpi tentang rumah panjang itu. Sesekali, dia terdengar bunyi gendang sayup-sayup dalam tidurnya.

Sehingga kini, dia masih tertanya-tanya, adakah ia sekadar ilusi keletihan, atau benar-benar gangguan yang tidak dapat dijelaskan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN