LIPIS – “Kalau kahwin biasa mungkin habis ribuan ringgit, tetapi dengan Anggun Suri semuanya ditanggung”.
Itu antara kegembiraan pasangan pengantin muda yang diraikan menerusi Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) 2025, apabila impian mereka untuk mendirikan rumah tangga akhirnya tercapai tanpa terbeban dengan kos tinggi.
Bagi Siti Noratikah Muhammad Abu Bakar, 27, dan pasangannya Muhammad Shahrul Borhan, 30, inisiatif kerajaan negeri itu bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi ruang untuk mereka memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih tenang.
“Kami pilih program ini sebab bajetnya jauh lebih murah. Kalau kahwin sendiri memang perlukan modal besar, tetapi di sini semuanya ditaja daripada pelamin, makan beradab sampai ke dewan.
“Wang selebihnya bolehlah kami simpan untuk masa depan. Terima kasih Tok Wan (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), terima kasih kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas selesai program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) Tahun 2025 Parlimen Cameron Highlands bertempat di Laman Sejahtera Koyan, di sini hari ini.
Sempena majlis itu seramai 10 pasangan pengantin telah diraikan dengan kehadiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pelaksanaan Program Anggun Suri tahun ini menyaksikan peluasan penyertaan daripada hanya tiga daerah pada tahun lalu kepada 10 daerah pada tahun ini.
Tambahnya, peluasan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – KOSMO! ONLINE