CYBERJAYA – Pelari jarak jauh, Mohd. Syahidan Alias masih memasang hasrat untuk mewakili pasukan negara ke temasya-temasya utama termasuk Sukan SEA pada masa hadapan meskipun usia sudah menghampiri kategori veteran.
Dia yang sudah menginjak ke usia 38 tahun mengakui tidak pernah mewakili pasukan negara ke mana-mana kejohanan, namun keazamannya tidak pernah padam bagi menggalas nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Justeru, dia yang lebih mesra dengan panggilan Edan itu menjelaskan, sedang memburu rekod peribadi baharu selain mengakui masih ada 10 tahun untuk mengejar impian beraksi bersama pasukan negara.
“Saya tidak pernah lagi beraksi di Sukan SEA tetapi rekod-rekod peribadi itu tetap ada. Saya pernah melakukan tiga Rekod Dunia Guinness sebelum ini dan semuanya ada matlamat yang tersendiri.
“Lagi dua tahun saya sudah masuk kategori veteran dan harap boleh memperbaiki rekod peribadi dahulu. Kalau ada peluang dan tidak sibuk dengan karier, saya akan cuba (wakil negara),” katanya ketika ditemui selepas acara larian Lazada Run di sini, hari ini.
Pada kejohanan tersebut, Edan menjadi peserta tempatan terbaik apabila menamatkan acara 21.1 kilometer (km) lelaki di tempat kedua menerusi catatan masa 1 jam 17 minit 20 saat (s).
Juara bagi kategori tersebut dimenangi peserta luar negara, Samson Karega dengan catatan masa 1’16:56s manakala tempat ketiga menjadi milik Nur’Abid Khafiz yang mencatat 1’18:57s.
“Alhamdulillah dapat tempat kedua dalam larian hari ini. Bagi saya, larian hari ini baik sahaja dan dapat mengikut pelari Kenya tersebut sebelum ketinggalan pada tiga kilometer terakhir,” ujarnya.
Sementara itu, bagi kategori 21.1km wanita, tempat pertama dimenangi Michelle dengan catatan masa 1’37:00s diikuti Dorene (1’40:08s) dan Lynil Quebec Martinez (1’42:3s). – KOSMO! ONLINE