KEBIASAANNYA di Bollywood, anak pelakon popular pasti akan mengikut jejak langkah mereka terjun dalam bidang lakonan.
Budaya nepotisme sememangnya sangat terkenal dalam industri Bollywood sejak dulu lagi.
Anak-anak artis popular atau diberi gelaran star kids mempunyai jalan mudah untuk terjun ke dunia lakonan seperti orang tua mereka.
Antara yang mengikut jejak langkah tersebut termasuklah Abhishek Bachchan, Bobby Deol, Saif Ali Khan, Ranbir Kapoor, Sara Ali Khan, Ananya Panday dan Sonam Kapoor.
Pada saat semakin ramai penerbit berlumba-lumba mahu melancarkan karier anak pelakon, lain pula terjadi kepada anak kepada Akshay Kumar dan Twinkle Khanna.

Anak sulung mereka iaitu Aarav nyata tidak berminat dalam bidang lakonan, sebaliknya memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen.
Menurut Akshay, anaknya sudah menunjukkan ciri langsung tidak berminat dengan bidang hiburan mahupun bercita-cita untuk bekerja dalam syarikat produksinya.
“Dia tidak mahu sertai bidang perfileman. Dia telah memberitahu saya dengan jelas. Saya hormati pendiriannya dan sentiasa menyokong apa jua bidang yang dia mahu ceburi.
“Memang saya pernah berharap agar dia mengikut jejak langkah saya, tetapi tak mengapa. Asalkan anak saya gembira,” katanya.
Tambahnya lagi, Aarav yang kini berusia 23 tahun telah berpindah ke London sejak berusia 15 tahun lagi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen.

Anak SRK lebih minat mengarah
Ramai yang menjangkakan anak sulung kepada pelakon terkenal Shah Rukh Khan iaitu Aryan Khan akan mengikut jejak langkah bapanya menjadi pelakon satu hari nanti.
Memiliki rupa paras yang tampan persis bapanya, Aryan antara anak artis yang memiliki peluang paling cerah untuk bergelar hero Bollywood.
Namun sayangnya, Aryan tidak berminat dengan bidang lakonan. Sebaliknya dia lebih tertarik untuk menjadi pengarah filem.
Selepas mengarahkan sebuah iklan, Aryan berjaya mengarah sebuah drama bersiri The B***ds Of Bollywood yang ditayangkan dalam platform penstriman Netflix.
Drama yang dibintangi ramai pelakon terkenal Bollywood itu mendapat pujian ramai sehingga Aryan dilabel sebagai pengarah baharu yang mempunyai masa depan yang cerah.
“Aryan memang tidak berminat dengan bidang lakonan. Yang minat dengan lakonan anak perempuan saya, Suhanna. Aryan sangat meminati bidang pengarahan dan penulisan.
“Sebenarnya dia memiliki sifat yang sama seperti saya. Dahulu saya juga tidak meminati bidang lakonan.
“Saya lebih sukakan bidang pengarahan. Sebab itu saya sambung belajar dalam jurusan komunikasi media,” katanya.
Tambah pelakon yang terkenal dengan julukan The King Of Khan itu, dia sangat bangga dengan Aryan kerana anaknya tidak pernah meminta pertolongan daripadanya.
“Dia tak pernah minta tolong saya. Dia lakukan dan belajar sendiri. Saya juga tidak pernah memaksa anak-anak saya untuk terjun ke bidang lakonan. Saya mahu mereka terokai sendiri minat mereka.
“Saya tak pernah tanya Aryan jika dia mahu menjadi seorang pelakon atau pun tidak. Mungkin ibu dan neneknya pernah bertanya. Tetapi kami berdua tidak pernah bercakap soal itu,” kongsinya.
Biarpun tidak berminat untuk terbabit sebagai pelakon, namun Aryan pernah muncul dalam filem Kabhi Kushi Khabie Gham membawakan watak bapanya ketika kecil.