fbpx
Johari pada sidang akhbar di Taman Tasik Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Pemaju bertanggungjawab pulangkan penduduk ke Kampung Sungai Baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemaju perlu mengembalikan semua penduduk Kampung Sungai Baru ke kawasan asal mereka kerana isu itu sudah berlarutan selama lapan tahun.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kelewatan pembangunan semula kawasan itu amat tidak adil kepada penduduk yang telah lama menunggu untuk kembali ke penempatan asal mereka.

“Penduduk Kampung Sungai Baru ini sudah tunggu terlalu lama. Mereka telah dihantar keluar oleh pemaju, maka pemaju kena bertanggungjawab memulangkan mereka balik ke kawasan itu.

“Sekarang sudah lapan tahun, kalau projek baru hendak mula pun ambil masa empat atau lima tahun lagi, maknanya 13 tahun keseluruhannya,” katanya pada program Kampungku Fun Walk Datuk Keramat 2025 di sini hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, pemaju sepatutnya mengambil inisiatif untuk menyiapkan sekurang-kurangnya satu atau dua blok perumahan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk yang telah berpindah kembali ke kawasan asal mereka.

“Tak adil kalau mereka terpaksa berdepan dengan masalah ini terlalu lama. Kalau pemaju tiada kemampuan, dia boleh berbincang dengan pihak lain seperti UDA Holdings Berhad untuk meneruskan projek ini,” katanya.

Johari berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan kini telah diberi mandat oleh Jemaah Menteri untuk berurusan dengan pemaju bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan lagi.

Katanya, pengalaman kes Kampung Sungai Baru harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam sebarang urusan pengambilan tanah pada masa akan datang.

“Pemimpin perlu memastikan keputusan pengambilan tanah tidak dibuat sewenang-wenangnya, terutama jika ramai penduduk masih tidak bersetuju. Selain itu, perlu ada perbezaan antara unit flat dan rumah teres supaya hak pemilik tidak terjejas,” katanya.
– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI