KUALA LUMPUR – Pemain golf profesional negara, Muhammad Danial Faidz Jazmi menyuarakan hasratnya untuk melihat lebih ramai bakat muda dari Malaysia berjaya menembusi kejohanan antarabangsa.
Beliau percaya platform pembangunan yang tersusun seperti Kejohanan Jelajah Golf MyHE Olympian 2025 yang berlangsung di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan bakat-bakat baharu.
Katanya, kejohanan yang julung kali di UKM itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh akar umbi sukan golf tanah air.
“Sebagai pemain profesional, saya amat berbesar hati diberi peluang menjadi duta bagi menyokong perkembangan golf di peringkat akar umbi.
“Perjalanan saya dalam dunia golf bermula sejak usia 10 tahun, lebih 15 tahun lalu, sebelum beraksi di pentas antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat. Kini, saya mahu menyalurkan semula segala pengalaman itu kepada generasi baharu,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berkenaan, hari ini.
Faidz berkata, penubuhan Akademi Golf
Olympian yang diperkenalkan serentak dengan kejohanan itu, menjadi landasan utama untuk melahirkan pelapis berbakat melalui pendekatan latihan lebih menyeluruh dan moden.
“Dengan akademi ini, kami bukan sekadar mengajar teknik, tetapi membentuk minda dan disiplin seorang pemain profesional. Segala ilmu dan pendedahan yang saya peroleh akan diterjemahkan dalam program latihan yang berstruktur dan holistik,” ujarnya.
Faidz turut memuji penganjuran MyHE Olympian yang disifatkannya sebagai usaha serius memecahkan persepsi bahawa golf hanya untuk golongan tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua yang mahu mencipta nama di arena antarabangsa. -KOSMO! ONLINE