KUALA NERUS – Peruntukan sebanyak lebih RM580 juta bagi sektor sukan dalam Belanjawan 2026 membuktikan kesungguhan usaha memperkukuh ekosistem sukan negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, peruntukan besar itu termasuk pembinaan dan menaik taraf infrastruktur serta program pembangunan atlet di peringkat negeri.
“Ia turut merangkumi agensi-agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Pertambahan peruntukan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memangkin pelaksanaan program pembangunan atlet negara seperti Road To Gold (RTG) serta memperkukuh fasiliti sukan di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Terengganu di Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini.
Adli berkata, bajet pembangunan sukan yang meningkat RM380 juta akan membantu pelaksanaan pelbagai program pembangunan atlet melalui inisiatif sedia ada.
Beliau juga mengharga tumpuan kerajaan yang berusaha membangunkan bidang sukan sebagai antara agenda penting pembangunan belia dan masyarakat.- KOSMO! ONLINE