KUALA LUMPUR – Gergasi Amerika Selatan, Uruguay tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan ke atas Republik Dominica dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Uruguay yang dikendalikan oleh Marcelo Bielsa membariskan kesebelasan utama terdiri daripada Luciano Rodriguez, Ignacio Laquintana, Juan Manuel Sanabria.
Pasukan La Celeste dilihat bermula garang apabila berjaya mendominasi perlawanan tetapi Republik Dominica pula mempamerkan taktikal serangan balas pantas.
Perlawanan agak seimbang pada babak pertama dengan beberapa peluang mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Laquintana pada minit ke-60 dengan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut memberi tonik terbaik buat pasukan ranking ke-15 dunia itu menjelang satu lagi aksi persahabatan antarabangsa apabila dijadual bertemu Uzbekistan pada Isnin ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Bielsa sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak memanggil beberapa pemain berkelas dunia seperti tonggak Real Madrid, Federico Valverde, Ronald Araujo (Barcelona), Darwin Nunez (Al Hilal) dan Manuel Ugarte (Manchester United).
– KOSMO! ONLINE