BESUT – Kehidupan kira-kira 500 penduduk yang mendiami taman perumahan di Seberang Jerteh di sini, berubah seketika akibat gangguan bekalan air bersih sejak lebih sebulan lalu.
Lebih membimbangkan apabila gangguan yang berpunca daripada tekanan rendah itu menyebabkan penduduk yang mendiami Perumahan Awam Pelagat 3 dan Taman Durian Bongkok di sini terpaksa berdepan dengan isu catuan air.
Seorang penduduk, Ruzmi Yasin, 62, mendakwa, bekalan air bersih di rumah mereka kerap terputus sehingga mengganggu rutin seharian.
“Bekalan air telah dicatu dan biasanya diperoleh antara waktu maghrib hinggu subuh, namun alirannya sangat perlahan.
“Tekanan air rendah menyebabkan bekalan air tersebut biasanya tidak sampai ke tangki simpanan rumah kami,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Seberang Jerteh di sini semalam.
Katanya, ada jirannya yang berkemampuan telah menggali telaga tiub sebagai alternatif mendapatkan bekalan air.
“Sebahagian mereka bermurah hati membenarkan kami mengambil sedikit air telaga tiub terbabit untuk dibawa pulang untuk keperluan memasak dan minum harian,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seberang Jerteh, Samsudin Mohamad mendakwa, antara punca gangguan bekalan air tersebut ialah ketiadaan tangki air utama di taman perumahan mereka.
“Saya difahamkan tangki air utama tersebut telah mengalami kerosakan sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Kerja-kerja membaikinya masih belum dilakukan biarpun kami telah berkali-kali membuat aduan. Difahamkan ia disebabkan masalah peruntukan,” dakwanya.














