PETALING JAYA – Bukan elevasi mahupun laluan teknikal, sebaliknya menawarkan pengalaman unik dan sesuai untuk semua lapisan umur yang ingin mula menceburi dunia larian denai.
Itu antara kelainan ditampilkan acara Decathlon Trail Run yang buat julung kali diadakan pada 16 November depan di Kemensah Off Trail, Gombak.
Acara anjuran bersama The Comrades itu merangkumi kategori fun run sejauh 5 kilometer (km) serta 10 dan 15km.
Jurucakap Decathlon, Zulfazli Zainal berkata, lebih 700 penyertaan direkodkan membabitkan 11 negara dengan kategori 15 km paling ramai disertai.
Menurut Zulfazli yang juga Pengurus Cawangan Decathlon Sri Damansara, penganjuran acara itu adalah sempena sambutan ulang tahun Decathlon yang kesembilan.
“Lazimnya, acara larian denai dikenali sebagai sesuatu yang ekstrem dan susah, tapi kita mahu mengubah persepsi itu dan menjadikannya sebagai aktiviti yang boleh disertai semua lapisan masyarakat.
“Di Malaysia, kita ada banyak acara larian denai, tetapi sangat teknikal dan jauh lebih mencabar. Jadi, acara ini boleh jadi platform pertama untuk mereka cuba larian denai,” katanya pada sidang media di Decathlon Sri Damansara, semalam.
Dalam pada itu, Pengarah The Comrades Arman Arshad berkata, acara tersebut menawarkan laluan yang menarik melalui beberapa bukit serta sungai dengan cabaran yang tertentu.
“Peserta ‘fun run’ tidak akan memasuki kawasan hutan manakala untuk kategori 10km meliputi 50 peratus laluan denai manakala selebihnya jalan raya.
“Bagi kategori 15km, kita sediakan cabaran tertentu yang mana peserta akan mendaki beberapa bukit serta meredah sungai dengan jumlah elevasi setinggi 526 meter,” jelasnya.
Dalam pada itu, Arman berkata, pihaknya turut mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan serta Persatuan Malim Gunung Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan peserta terjamin sepanjang acara berlangsung. – KOSMO! ONLINE