KUALA LUMPUR – Suasana Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena bertukar hening apabila maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir tampil membuat kemunculan istimewa menyampaikan puisi bertemakan keinsafan dan kemanusiaan.
Kehadiran M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Mohamed, 68, seperti memberi nyawa baharu kepada perjuangan rakyat Palestin apabila bait puisinya menyentuh terus ke dasar jiwa hadirin.
“Jika kita lupa siapa kita, hadapan kita adalah cermin. Kita bisa lihat wajah-wajah seakan hidup dan seakan mati.
“Mungkin kita sukar mengenal wajah-wajah sendiri. Menyalaklah sekuat hati, merintihlah sepedih-pedihnya.
“Lihatlah lagi pada cermin itu dan bertanya pada manusia di dalamnya. Inilah masanya aku menunjukkan taring dan kuku, menyiat perompak kebenaran?” deklamasinya penuh emosi di hadapan ribuan penonton.
Disambut tepukan gemuruh, M. Nasir kemudiannya secara spontan mendendangkan lagu ketuhanan ciptaannya, Di Balik Cermin Mimpi, menambahkan kesyahduan malam penuh makna itu.
Nada suaranya yang bergetar sarat dengan mesej kemanusiaan seolah-olah menyeru rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan isu penderitaan Gaza berlalu tanpa rasa peduli.
Turut hadir memberi sokongan pada himpunan bersejarah itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama ribuan rakyat Malaysia yang membanjiri Axiata Arena.
Majlis turut disertai barisan delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) antaranya PU Rahmat, Ardell Aryana, Farah Lee, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, yang baru pulang ke tanah air selepas ditahan rejim Zionis awal bulan ini. – KOSMO! ONLINE