SERDANG – Kesemua 145 delegasi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG) yang ditahan rejim Israel dijangka tiba di Pelabuhan Ashdod dalam tempoh antara 10 hingga 11 jam selepas kapal mereka dipintas pada kedudukan 120 batu nautika dari pantai Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, berdasarkan maklumat terkini, kapal yang membawa para sukarelawan kini sedang dikawal oleh tentera Israel menuju ke Pelabuhan Ashdod dengan kelajuan sekitar 10 hingga 11 knot.
“Dengan kelajuan itu, kita jangka kapal akan tiba di Pelabuhan Ashdod sekitar jam 10 hingga 11 malam ini waktu tempatan. Ketika ini, semua bentuk komunikasi dengan kapal telah terputus sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak penganjur menjangkakan keadaan ‘communication blackout’ yang lebih lama memandangkan semua peralatan komunikasi di atas kapal diarahkan untuk dibuang ke laut bagi mengelakkan sebarang risiko intipan atau rampasan data oleh rejim Zionis.
Tambahnya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan Menteri Luar Turkiye, Hakkan Fidan untuk menyelaras usaha membawa pulang sembilan rakyat Malaysia bersama 21 delegasi Turkiye ke Istanbul sebaik sahaja proses siasatan selesai.
Menurut Kamarul Zaman, delegasi Malaysia terdiri daripada tiga orang doktor perubatan di atas kapal Conscience iaitu Dr. Fauziah Hassan, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan Dr. Hafiz Sulaiman manakala seorang lagi, Dr. Maziah Muhammad, berada di atas kapal UMM Saad.
Katanya, mereka berperanan sebagai pasukan perubatan misi berkenaan.
“Misi pelayaran ini bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi turut disertai doktor dan wartawan antarabangsa sebagai tanda solidariti terhadap ribuan nyawa doktor dan wartawan yang terkorban di Gaza,” katanya.
Menurutnya, misi ini dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa dan berada di luar bidang kuasa Israel.
Oleh itu, MyCare menyeru kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengecam tindakan rampasan tersebut serta menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang telah diculik.
“Kami juga mendesak agar sekatan haram dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera,” katanya.
Beliau berkata, pintasan ke atas kapal berlaku antara pukul 10.30 hingga 10.50 pagi tadi, dan seperti kebiasaannya, kapal yang ditawan akan diambil alih sepenuhnya oleh tentera Israel.
“Biasanya, peserta misi tidak akan memandu kapal ke Pelabuhan Ashdod kerana matlamat mereka adalah ke Gaza. Namun, tentera Israel akan mengawal kapal berkenaan sehingga tiba di pelabuhan tersebut,” katanya.
Katanya, pasukan peguam yang telah bersedia di lapangan akan mengendalikan semua 145 delegasi yang ditahan sebaik sahaja mereka tiba di Ashdod, dan proses siasatan dijangka bermula pada waktu pejabat esok.
“Kami berharap urusan ini dapat diselesaikan sebelum hujung minggu bagi mengelakkan kelewatan kerana pejabat kerajaan di Israel ditutup pada Jumaat dan Sabtu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kerjasama kerajaan Turkiye diharap dapat mempercepatkan urusan pelepasan dan penghantaran pulang para delegasi, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap peserta Global Sumud Flotilla sebelum ini. – KOSMO! ONLINE.