fbpx
TANGKAP layar kebocoron siling di ruang menunggu di HTAA di Kuantan.

Siling ruang menunggu pesakit HTAA didakwa bocor, pesakit bimbang keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Dua klip video memaparkan keadaan siling yang didakwa bocor teruk di ruang menunggu pesakit Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, tular sejak malam semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terhadap keselamatan dan tahap penyelenggaraan fasiliti kesihatan berkenaan.

Dipercayai kejadian itu berlaku ketika hujan lebat melanda bandar ini selama kira-kira dua jam bermula pukul 7 malam.

Video masing-masing berdurasi 31 saat dan 44 saat itu dimuat naik di platform Facebook (FB) kira-kira pukul 8 malam itu menunjukkan air mengalir deras dari siling berhampiran lampu kalimantang di ruang menunggu pesakit, menyebabkan lantai digenangi air.

Dalam video kedua yang dimuat naik di ruangan komen pula menunjukkan pekerja sedang menyedut air yang bertakung di atas lantai dengan menggunakan mesin penyedut.

Video yang dimuat naik oleh pengguna FB bernama Mohd Haffizi Mohd Amir itu menerima lebih 55,000 tontonan dan 398 reaksi, dengan kebanyakan pengguna menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit dan petugas.

“Sampai ke dalam bilik tempat bantuan penafasan pun bocor teruk,” tulis Mohd Haffizi Mohd Amir di ruangan komen.

Sementara itu, seorang lagi pengguna FB, Abdullah Sani Jamaluddin menegaskan kebocoran siling itu boleh mendatangkan risiko kecederaan.

“Bahaya ni… siling runtuh naya je,” katanya ringkas.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuk pengurusan HTAA.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI