KUANTAN – Pengiktirafan tinggi oleh Ketua Audit Negara terhadap penyata kewangan negeri Pahang membuktikan komitmen berterusan pentadbiran kerajaan negeri dalam membina Pahang yang makmur, berdaya saing dan berintegriti.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu kerajaan negeri akan terus memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan serta memastikan hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang merakamkan penghargaan atas pengiktirafan Laporan Ketua Audit Negara menerusi pemberian Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) bagi Penyata Kewangan Tahun 2024.
“Kejayaan yang sama diterima pada tahun 2023, membuktikan kecekapan tadbir urus serta pengurusan kewangan kerajaan negeri yang berteraskan akauntabiliti, ketelusan dan integriti, sejajar dengan semangat Aspirasi Pahang 1st,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pahang antara empat negeri yang menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) untuk penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilaporkan berkata, selain Pahang tiga negeri lain yang turut menerima sijil itu ialah Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.- KOSMO! ONLINE