PETALING JAYA – Golongan peniaga kecil luar bandar mengharapkan Belanjawan 2026 memberi tumpuan terhadap pengukuhan subsidi dan bantuan mikro bagi membantu mereka terus bertahan dalam situasi kos sara hidup yang semakin menekan.
Mereka juga mahu pelbagai insentif baru terus diberikan bagi menjamin kelangsungan perniagaan masing-masing.
Di, Lipis, Pahang, seorang peniaga kedai makan, Zabidah Shod, 58, berkata, dia mengharapkan bantuan tunai dan subsidi bahan mentah dikekalkan bagi kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Sekarang harga barang naik, minyak masak pun kadang-kadang susah nak dapat harga patut. Harap kerajaan boleh teruskan bantuan bersasar untuk peniaga macam kami, sekurang-kurangnya boleh ringan sikit beban.
“Subsidi ini bagus, tetapi biarlah sampai kepada peniaga kecil macam kami. Kalau harga bahan mentah stabil, peniaga pun boleh hidup,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Siti Nur Maimunah Samah, 24, pengusaha kedai makan di Pekan Benta pula berharap, kerajaan mempertimbangkan bantuan khas bagi menampung kos bayaran suntikan tifoid yang kini menjadi kewajipan kepada peniaga makanan.
“Sekarang, cucuk tifoid pun dah dekat RM100 seorang. Kalau ada tiga pekerja, sudah cecah RM300. Kalau kerajaan boleh bantu dari situ, sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban kami.
Di Kulim, Kedah pula, peniaga kedai runcit, Nurmunirah Mohamad, 32, berkata, harga barangan ketika ini masih berada pada tahap konsisten, namun kerajaan digesa terus menyalurkan bantuan atau insentif bagi meringankan beban kos sara hidup.
“Kekalkan program seperti Jualan Rahmah beri kesan positif kepada pengguna dan jualan itu menaikkan perniagaan kami,” ujarnya.
Peniaga roti canai di Gua Musang, Kelantan mengharapkan kerajaan terus memberi penekanan berkaitan kebajikan termasuk bantuan ketika mereka berdepan kerugian akibat bencana alam.
“Saya berharap kerajaan dapat meringankan kerugian yang terpaksa ditanggung peniaga yang terjejas dengan bencana alam seperti ribut dengan memberi bantuan tunai.
“Bantuan itu dapat meringankan beban untuk kami terus menjalankan perniagaan,” kata Wan Hassan Wan Omar, 70.
Di Kota Bharu pula, seorang lagi peniaga roti canai berharap kerajaan menyediakan bantuan khas kepada peniaga kecil berikutan harga bahan mentah meningkat dari semasa ke semasa.
Asmah Che Man, 61, berkata, dia meminta agar kerajaan sediakan peruntukan khas kepada peniaga pada pembentangan Belanjawan 2026 nanti.
“Harap tiada yang ditarik tetapi ditambah dalam belanjawan Jumaat ini,” ujarnya.
















