Dalam dunia digital hari ini, sempadan antara kebenaran dan kepalsuan semakin tipis kerana apa yang kita lihat dan dengar di skrin tidak lagi boleh dijadikan jaminan mutlak.
Jika dahulu, scammer hanya mengganggu mangsa dengan identiti pegawai bank atau polis melalui panggilan telefon, kini kumpulan penjenayah dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake (palsu tulen) untuk menyamar sebagai seseorang berpengaruh termasuk menjadi Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.
Kemunculan teknologi deepfake menjadikan penipuan dalam talian bukan sekadar mesej meragukan, tetapi mampu menyerupai wajah, suara, malah gaya berbicara.
Bahaya ini bukan sekadar soal kerugian wang ringgit, ia melibatkan isu lebih besar iaitu kepercayaan masyarakat terhadap komunikasi rasmi, integriti tokoh awam dan kestabilan maklumat.
Jika teknologi ini terus disalah guna, masyarakat mungkin sukar lagi membezakan antara realiti dengan manipulasi, lalu membuka ruang lebih luas kepada jenayah siber.
Menurut Duta Anti Scam, Rahmat Fitri Abdullah, teknologi deepfake membolehkan wajah dan suara seseorang ditiru dengan ketepatan hampir 90 peratus.
Katanya, dengan hanya berbekalkan rakaman awam dari YouTube, TikTok atau majlis rasmi, scammer boleh menghasilkan video seolah-olah tokoh berkenaan benar-benar sedang bercakap.
“Ini lebih berbahaya kerana masyarakat mudah percaya apabila melihat ‘orang kenamaan’ memberi arahan atau membuat permintaan tertentu, sama ada berkaitan pelaburan atau derma,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengarah Rahmat Fitri Consultant Sdn. Bhd. menjelaskan bahawa antara taktik yang dikesan ialah scammer menyamar sebagai ahli perniagaan berstatus Tan Sri atau pemimpin korporat bergelar Datuk Seri untuk meyakinkan mangsa melabur dalam skim tidak wujud.
“Ada juga kes di mana mangsa diminta membuat sumbangan kononnya untuk dana kebajikan. Walaupun mesej disampaikan melalui video yang nampak asli, sebenarnya ia adalah hasil suntingan AI.
“Ramai mangsa terpedaya kerana merasakan mesej itu datang terus daripada tokoh berprofil tinggi,” katanya.
Jelasnya, fenomena ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap komunikasi digital.
“Jika tidak ditangani, orang ramai mungkin sukar mempercayai sebarang pengumuman rasmi atau mesej daripada tokoh terkenal di masa hadapan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa deepfake bukan sahaja digunakan untuk tujuan penipuan kewangan, tetapi juga berpotensi disalah guna untuk serangan reputasi dan penyebaran berita palsu.
Sebelum ini, beberapa ahli politik dilaporkan menjadi mangsa ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Antara yang dilapor menjadi mangsa ialah Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Penghantar e-mel berkenaan dikatakan meminta wang berjumlah USD$100,000 (kira-kira RM420,000).
Pada Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu iklan pelaburan dipercayai palsu diiklankan di Facebook, dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai.=
















