ISKANDAR PUTERI – Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dinaiki bersama rakannya dipercayai karam berhampiran Kampung Tebing Runtoh, di sini pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I, Saifulizam Salleh berkata, mangsa yang berusia 40-an dikhuatiri lemas selepas kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9 .01 pagi.
“Bot tersebut karam pada jarak 10 meter dari tebing. Dua mangsa masing-masing berusia 40-an menaiki bot berkenaan, dengan seorang daripadanya berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Seorang lagi mangsa masih belum ditemui, dengan anggota bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga kini masih belum ditemui,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Saifulizam, pihak bomba menggunakan teknik ‘surface searching’ termasuklah dengan menggunakan bot nelayan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang.-KOSMO! ONLINE