fbpx
Nama Mazleen hangat diperkatakan apabila wujud dakwaan dirinya culas melangsaikan bayaran terhadap vendor perniagaan kios makanan.

Dituduh culas bayar hutang, Mazleen akan selesaikan semua masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Selepas dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025, nama Mazleen hangat diperkatakan apabila wujud dakwaan dirinya culas melangsaikan bayaran terhadap vendor perniagaan kios makanan.

Tidak menafikan isu tersebut, Mazleen atau nama sebenarnya Mazlin Abu Bakar, 45, memaklumkan terpaksa berehat daripada urusan perniagaan sejak awal tahun bagi memberi tumpuan terhadap penyertaannya dalam program realiti terbabit.

“Saya rasa berkaitan dengan kerja lain iaitu perniagaan yang saya sudah cutikan selama enam bulan sebab saya nak fokus di Kilauan Emas.

“Nak masuk uji bakat bukan kosong-kosong. Ada tempoh persiapan, jadi apa-apa kerja lain memang saya rehatkan sekejap,” katanya kepada Kosmo! Online semasa siding media Kilauan Emas 2025, baru-baru ini.

Pada masa sama, penyanyi asal Kluang, Johor itu percaya tuduhan dirinya sebagai ‘scammer’ sengaja ditimbulkan untuk mengganggu fokusnya membina nama dalam industri seni.

“Apa yang saya buat dalam nyanyian adalah nyanyian, kerja adalah kerja.

“Jadi bagi saya tak adil nak campur adukkan, bukan saya seorang yang ada sisi berbeza.

“Bila kita ke arah lebih dikenali, perkara seperti ini akan timbul,” jelasnya.

Mazleen juga memaklumkan tidak pernah melarikan diri dan akan menyelesaikan segala masalah yang tertangguh pada masa yang sesuai.

“Alhamdulillah, mereka nampak saya tak ke mana pun.

“Kita memang akan kembali bekerja, jadi semua urusan akan dikembalikan semula dalam kadar yang sesuai,” ujarnya.

Sebelum ini, sebuah portal menerima kiriman emel yang mengatakan Mazleen berhutang sebanyak RM3,6000 kepada seorang pembekal vendor selain mengabaikan mesej dan panggilan bagi menuntut wang.

Malah, pengirim terbabit turut menunjukkan resit duit transaksi palsu yang dipercayai daripada Mazleen.

Sebelum ini, Mazleen dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas 2025 mengenetepikan lima finalis lain seperti Zekrai, Nawary, Zanie, Ezan dan Majid.

Kemenangan tersebut membolehkan Mazleen membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, trofi Kilauan Emas, pakej umrah premium sumbangan Khadim Ummah Holidays serta pakej percutian empat hari tiga malam ke Dubai, UAE sumbangan Amartrips.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN