fbpx
ISMAIL (tiga dari kanan) meninjau keadaan sawah di bawah kawasan MADA di Alor Setar yang tenggelam akibat banjir, hari ini.

624 hektar sawah tenggelam, rugi RM4.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kira-kira 624 hektar sawah di Wilayah III Pendang dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ditenggelami banjir dengan anggaran kerugian RM4.6 juta.

Nilai kerugian itu dianggarkan berdasarkan purata hasil lima tan padi bagi setiap hektar sawah yang kebanyakannya sudah sedia untuk dituai.

Menurut Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh, kawasan berkenaan sering dilanda banjir hampir setiap tahun berikutan Sungai Padang Kerbau yang menerima bebanan hujan dari Kubur Panjang, Nawa dan Sungai Langgar sebelum bertembung untuk mengalir ke Sungai Kedah.

Katanya, rata-rata petani mengalami kerugian besar kerana tanaman padi rosak akibat tenggelam sepenuhnya dan sebahagiannya tenggelam sehingga separuh ketinggian pokok padi.

“Takungan air mengambil masa untuk surut disebabkan struktur Sungai Pendang yang landai, maka perlu tunggu sehingga aliran air Sungai Anak Bukit ke laut barulah air di sini boleh dialirkan,” katanya ketika meninjau keadaan sawah di Unit Permatang Limau, PPK Titi Haji Idris, di sini hari ini.

Ujarnya, antara faktor lain yang menyumbang kepada masalah itu ialah dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang yang masih belum siap.

“Projek berkenaan dipercayai mampu mengalirkan sehingga 80 peratus aliran hujan dari kawasan hulu apabila siap kelak,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga akan melaksanakan kerja-kerja mendalamkan Sungai Pendang bagi menampung lebihan 20 peratus aliran hujan dari kawasan hulu selepas kedua-dua projek RTB itu siap.

“Purata hujan setahun di Kedah kira-kira 2,000 hingga 2,100 milimeter (mm) dan sehingga Oktober ini kita telah menerima hujan pada tahap 1,400 mm. Masih ada baki sekitar 700 mm hujan sehingga hujung tahun ini.

“Kalau purata hujan setiap bulan seimbang, kita tidak akan berdepan masalah. Namun, jika hujan turun dalam tempoh singkat dengan jumlah besar, kita akan hadapi banjir lebih teruk seperti tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, pihak MADA pada masa sama akan membantu mempercepatkan pembayaran pampasan kepada pesawah yang terjejas ekoran kehilangan hasil dan ketiadaan pendapatan akibat bencana banjir itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI