fbpx
Anggota pertahanan awam Palestin memadamkan api selepas serangan Israel di sebuah sekolah di barat Jabalia, utara Gaza pada 27 Jun lalu. - AFP

2 tahun perang Gaza, krisis kemanusiaan semakin parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANDAR GAZA – Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menyifatkan Gaza sebagai ‘malapetaka kemanusiaan yang lengkap’ ketika pekerja bantuan turut sama merasai kelaparan dan ketakutan sama seperti penduduk wilayah Palestin itu, lapor laman berita Middle East Monitor.

Amaran itu dibuat ketika perang Israel di Gaza genap dua tahun esok, berikutan apa yang disifatkan oleh agensi bantuan sebagai tahun paling maut dalam rekod untuk pekerja kemanusiaan.

“Tahun lepas adalah tahun paling maut dalam rekod untuk rakan sekerja yang terbunuh dari pelbagai organisasi berbeza. Kita bercakap mengenai beratus-ratus orang,” kata jurucakap IFRC, Tommaso Della Longa kepada agensi berita Anadolu. 

“Sebahagian besar daripada mereka adalah dari Gaza, Tebing Barat dan Sudan,” tambahnya.

Angka terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 562 pekerja kemanusiaan di Gaza sejak dua tahun lalu.

Ia termasuk 376 kakitangan PBB dan 54 kakitangan serta sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Doktor dan jururawat di Gaza turut bekerja keras, kebiasaannya tanpa rehat dan keperluan asas.

Mereka menanggung kehilangan dan penderitaan peribadi yang tidak dapat dibayangkan semasa cuba menyelamatkan orang lain yang menjadi mangsa serangan Israel.

“Tidak pernah ada sesiapa boleh menggantikan mereka walaupun untuk beberapa hari. Mereka dibunuh, tidak dilindungi, dan sekarang mereka sukar untuk makan pada waktu siang,” kata Longa.

Sejak dua tahun lalu, Israel telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin di Gaza, dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan hampir 170,000 orang, demikian menurut angka daripada pihak berkuasa Palestin yang disahkan oleh PBB dan pertubuhan antarabangsa lain. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN