LONDON – Seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Greta Thunberg memberitahu pegawai Sweden bahawa dia menerima layanan buruk ketika berada dalam tahanan Israel selepas ditangkap di atas bot bantuan ke Gaza, lapor laman berita Arab News kelmarin yang memetik laporan akhbar The Guardian.
Dalam surat-menyurat yang dilihat oleh akhbar Britain itu dan diterbitkan kelmarin, aktivis iklim dari Sweden itu berkata, dia ditahan di dalam sel yang dipenuhi pepijat dan diberikan makanan serta air yang terlalu sedikit.
Menurut e-mel daripada Kementerian Luar Sweden, pegawai kedutaan telah menghubungi Greta.
“Dia menerima jumlah air dan makanan yang tidak mencukupi,” kata e-mel itu.
“Dia juga menyatakan mengalami ruam yang disyaki berpunca daripada pepijat katil. Dia bercakap tentang layanan kasar dan menyatakan telah duduk lama di permukaan keras,” kata e-mail tersebut.
E-mel yang dihantar kepada kenalan Greta itu turut menyatakan: “Seorang tahanan lain dilaporkan memberitahu sebuah kedutaan bahawa mereka melihat Greta dipaksa memegang bendera ketika gambar diambil. Dia tertanya-tanya sama ada imej dirinya telah diedarkan.”
Greta juga dikatakan diminta menandatangani satu dokumen oleh pihak berkuasa Israel.
“Dia tidak pasti maksud dokumen itu dan tidak mahu menandatangani sesuatu yang tidak difahaminya,” kata e-mel itu lagi sambil menambah, aktivis tersebut mendapat akses penasihat undang-undang.
Greta adalah salah seorang daripada 437 orang yang ditahan sebagai sebahagian daripada GSF, gabungan lebih 40 kapal yang berusaha menembusi sekatan maritim Israel ke atas Gaza.
Pasukan Israel memintas bot-bot tersebut pada malam Khamis lalu hingga pagi Jumaat lepas.
Kebanyakan mereka kini ditahan di penjara keselamatan tinggi Ketziot di gurun Negev yang biasanya digunakan untuk tahanan Palestin.
Menurut The Guardian, peguam daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Adalah berkata, hak tahanan telah dilanggar secara sistematik kerana mereka dinafikan air, kebersihan, ubat-ubatan dan akses segera kepada wakil guaman.
Ia jelas melanggar hak asasi mereka kepada proses undang-undang yang adil dan perwakilan undang-undang.
Pasukan guaman Itali yang mewakili flotila itu berkata, tahanan dibiarkan berjam-jam tanpa makanan atau air sehingga lewat malam, kecuali satu peket kerepek yang diberikan kepada Greta dan ditunjukkan kepada kamera.
Peguam juga melaporkan berlaku penderaan secara lisan dan fizikal.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dirakam pada malam Khamis lalu semasa lawatan ke pelabuhan Ashdod sambil menyifatkan para aktivis sebagai ‘pengganas’ ketika mereka duduk di atas tanah.
“Mereka inilah ‘pengganas’ flotila,” katanya dalam bahasa Ibrani seperti laporan itu.
Dalam klip tersebut, beberapa aktivis kedengaran melaungkan: “Bebaskan Palestin.”
Menurut Adalah, peserta-peserta flotila yang pernah menyertai misi sebelum ini biasanya dilayan sama seperti aktivis kali pertama iaitu menghadapi penahanan jangka pendek dan dihantar pulang, bukannya didakwa di mahkamah. – AGENSI