fbpx
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 di SIC, hari ini.

Sukan permotoran perlu dirakyatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menegaskan komitmen kerajaan untuk merakyatkan sukan permotoran, agar ia tidak hanya dilihat sebagai hiburan golongan elit tetapi turut dapat dinikmati oleh rakyat biasa di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui penganjuran Karnival Sukan Permotoran yang dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara, Bahagian Pembangunan Sukan serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Tujuan utama program ini adalah untuk merakyatkan sukan permotoran dan menjadikannya lebih mudah diakses orang ramai. Ini sebahagian daripada usaha kita seperti Sepang Track Day yang memberi peluang masyarakat merasai sendiri pengalaman di litar sebenar,” ujarnya.

Menurut Adam, program itu menyasarkan 5,000 peserta sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk menikmati kemudahan di SIC.

“Saya harap sasaran ini dapat dicapai kerana inilah cara terbaik mendekatkan sukan permotoran dengan rakyat,” ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 di SIC, hari ini.

Beliau menegaskan, sukan permotoran akan dijadikan acara tahunan bukan sahaja di Sepang, malah turut diperluaskan ke beberapa litar lain mengikut spesifikasi dan kapasiti yang sesuai.

“Kita mahu pastikan sukan permotoran sama ada empat tayar atau dua tayar terus mendapat sambutan, dengan penekanan bukan hanya pada aspek keseronokan, tetapi juga keselamatan dan kesedaran dalam kalangan peminat,” jelasnya.

Dari segi sokongan, beliau menjelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menyalurkan dana besar bagi memastikan sektor ini berkembang.

“Setiap tahun, SIC menerima sekitar RM50 juta daripada peruntukan kementerian kewangan, manakala program pembangunan seperti Rakan Muda turut diperuntukkan kira-kira RM25 juta lagi,” katanya.

“Untuk tahun ini sahaja, kira-kira RM3 juta telah dibelanjakan khusus bagi penganjuran program sukan permotoran. Walaupun kita belum mampu menaja pasukan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat melaksanakan program berasaskan pembangunan,” tambahnya.

Mengulas hala tuju masa depan, Adam berkata KBS merancang memperluas kerjasama dengan penganjur antarabangsa bagi menjadikan Sepang destinasi berprestij dunia.

“Kita tahu potensi Sepang masih besar. Sebab itu kita akan bekerja keras menarik lebih banyak acara permotoran bertaraf dunia serta nama-nama besar hadir ke Malaysia,” tambahnya lagi. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN