fbpx

Kemalangan Izzat Zaidi pada Cub Prix disiasat – MAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZAT ZAIDI mengalami kecederaan patah tulang rusuk kiri dan pendarahan dalam paru-paru selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi ‘Super-pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, Johor.

KUALA LUMPUR – Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) telah membuka siasatan menyeluruh berkenaan insiden kemalangan yang menimpa pelumba muda negara, Mohd. Izzat Zaidi sewaktu perlumbaan Superpole CP150 di Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Sabtu lepas.

Kata MAM, pihaknya bekerjasama secara aktif dengan penganjur kejohanan bersama pihak berkuasa berkaitan untuk memberi sebarang sokongan dan bantuan diperlukan.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Izzat yang mewakili pasukan CKJ Racing Team terlibat dalam kemalangan sewaktu sesi Superpole di Litar Bandar Medini, Iskandar Puteri, Johor.

Pasukan CKJ mengesahkan bahawa Izzat terlibat dalam insiden tersebut selepas jentera Yamaha yang dipacunya  melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang terletak di tepi litar.

Akibat insiden tersebut, Izzat terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada bahagian paru-paru bahkan dilaporkan masih belum sedar selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan Mohd. Izzat Zaidi, berlumba dengan motosikal #98. Insiden perlumbaan itu berlaku pada pukul 12:07 tengah hari pada 7 Oktober 2023, semasa sesi Superpole CP150 di Pusingan 8 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix.

“Tindakan segera telah diambil dan ditangani di tempat kejadian oleh pasukan kecemasan serta perubatan. Izzat segera dibawa ke pusat perubatan dan dipindahkan ke HSA untuk rawatan perubatan diperlukan.

“Sejak kemalangan itu, MAM telah bekerjasama secara aktif dengan penganjur kejohanan bersama pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi sebarang sokongan dan bantuan diperlukan. Pada masa sama, siasatan lebih terperinci mengenai insiden perlumbaan telah pun dimulakan.

“MAM dan seluruh komuniti sukan permotoran bersatu mendoakan Izzat cepat sembuh,” kata MAM dalam satu kenyataan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI