fbpx
Steven Sim bergambar dengan penerima sumbangan sempena Program AEON Mesra Deepavali di Hotel Ixora, Perai, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!

Madani tekan aspek kasih sayang, inklusiviti masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyifatkan konsep Madani ibarat tubuh manusia yang setiap anggotanya saling melengkapi, sekali gus menzahirkan betapa pentingnya perpaduan rakyat.

Katanya, konsep yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah kaedah tepat dalam meraikan perbezaan antara seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, mahupun agama.

“Tangan kanan melengkapi tangan kiri, kepala berbeza dengan kaki, tetapi masing-masing memerlukan satu sama lain untuk memastikan badan kita berfungsi dengan sihat.

“Justeru, Madani bermaksud bukan hanya kita meraikan perbezaan, tetapi memastikan bahawa kita bekerja bersama untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Deepavali AEON di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menambah, aspek kasih sayang, keprihatinan dan inklusiviti perlu diberi perhatian agar tiada lapisan masyarakat yang terpinggir terutamanya semasa musim perayaan.

“Kita bicara tentang pelaburan, pembangunan teknologi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan pembangunan lebih pesat dalam negara kita.

“Tetapi di sebalik semua itu, kita tidak boleh lupa kepada golongan rakyat biasa, warga pekerja dan golongan kurang bernasib baik untuk dibantu,” katanya.

Menerusi majlis terbabit, Yayasan AEON Malaysia (MAF) membantu seramai 130 orang kanak-kanak kurang bernasib baik daripada 50 keluarga komuniti di Bukit Mertajam.

Mereka menerima sumbangan pakaian raya, duit raya dan kotak makanan sebagai persediaan bagi meraikan Deepavali tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI