KUALA LUMPUR – Himpunan Sumud Flotilla (HSF) yang berlangsung di ibu negara bertukar tegang apabila peserta tidak dibenarkan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini hari ini.
Suasana himpunan yang pada awalnya berlangsung dengan aman menjadi kecoh apabila beberapa individu menjerit supaya pihak polis membuka sekatan menuju ke Kedutaan AS.
Tinjauan di lokasi mendapati, beberapa individu tidak dikenali dipercayai bertindak membaling telur ke arah pagar kedutaan.
Turut kelihatan beberapa wanita dilaporkan terjatuh ketika adegan tolak menolak itu berlaku.
Bagaimanapun suasana tegang itu kemudiannya berjaya dikawal anggota polis bertugas dan peserta dinasihatkan supaya bertenang.
Terdahulu, ribuan peserta HSF mula berkumpul di Bangunan Tabung Haji sekitar pukul 2 petang sebelum berarak menuju Kedutaan AS.
Tinjaun di lokasi mendapati, hujan lebat tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia bagi menyatakan solidariti buat penduduk Gaza di Palestin.
Bagaimanapun, peserta HSF tidak dibenarkan melepasi kawalan polis untuk berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan AS. – KOSMO! ONLINE