KUALA LUMPUR – Pekerja gig dan pekerja asing di Malaysia kini tidak lagi dipinggirkan selepas kerajaan memperkenalkan beberapa reformasi besar dalam sistem perlindungan sosial negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia telah menggubal undang-undang khusus bagi melindungi pekerja gig yang sebelum ini tidak diliputi oleh peruntukan undang-undang sedia ada.
“Pada akhir Ogos lalu, kita telah meluluskan RUU Pekerja Gig yang memberi perlindungan termasuk jaminan keselamatan sosial kepada pekerja gig. Ini penting kerana sektor gig bukan lagi kerja sementara, sebaliknya menjadi pilihan ramai kerana fleksibilitinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Sosial Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sim berkata, sejak tahun lalu kerajaan turut memperluas perlindungan insurans sosial penuh kepada semua pekerja asing yang bekerja di Malaysia, sama ada golongan ekspatriat profesional atau pekerja kurang mahir.
“Mereka datang membantu membangunkan negara kita. Sebelum ini hanya warganegara Malaysia menerima perlindungan penuh, namun kini semua pekerja asing turut menikmati faedah sama,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sim berkata, kadar liputan perlindungan sosial pekerja meningkat sehingga 64 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.
Malah, katanya, jumlah bayaran faedah kepada pencarum juga bertambah hampir 12 peratus sejak 2015, dan pindaan undang-undang pada tahun lalu telah menaikkan kadar bayaran kepada sehingga 20 peratus.
“Dengan semangat Malaysia Madani, tiada sesiapa pun yang akan ditinggalkan daripada perlindungan sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE.