fbpx
Muhammad Badrul (tengah) membawa jenazah anaknya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat dekat Bachok hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Bapa reda, Muhammad Ammar pergi dengan cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Bapa kepada seorang kanak-kanak yang parah akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok dekat sini pada Khamis lalu reda permergian anak sulungnya petang tadi.

Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, Muhammad Ammar, 7, merupakan anak sulung daripada dua beradik pergi dengan cara baik.

Menurutnya, dia menjaga anaknya itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian dekat Kota Bharu sehingga Muhammad Ammar menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.02 petang tadi.

“Jenazah tiba di rumah bapa saudara kira-kira pukul 10 malam sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat di sini.

“Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.34 dengan dipangku oleh saya sendiri dengan menaiki kereta sehingga ke liang lahad,” katanya ketika ditemui Kosmo! sebentar tadi.

Muhammad Badrul memberitahu, isterinya, Nur Ayuni Mohd. Kamaruzaman, 29 bersama lebih 100 ahli keluarga terdekat dan penduduk kampung turur hadir semasa upacara pengebumian Muhammad Ammar.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini tidak putus-putus mendoakan kesihatan Muhammad Ammar,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, selepas enam hari bertarung nyawa, seorang kanak-kanak yang parah akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok dekat sini pada Khamis lalu akhirnya meninggal dunia.

Muhammad Ammar menghembuskan nafas kira-kira pukul 3.02 petang tadi semasa menerima rawatan di ICU HPUSM, Kubang Kerian dekat Kota Bharu.

Terdahulu, Kosmo! turut melaporkan, seorang lelaki dipercayai menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini manakala anak saudara lelakinya berusia tujuh tahun berada dalam keadaan kritikal.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Ammar menerima lebih 50 jahitan pada kepala.

Selain itu, bahagian tempurung kepala Muhammad Ammar juga mengalami keretakan sebanyak 50 peratus akibat dipukul bertubi-tubi dengan sebatang tukul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI