PETALING JAYA – Sebanyak 30 buah kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan masih meneruskan perjalanan menuju ke Gaza walaupun beberapa daripadanya telah dipintas Israel.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan GSF di akaun Instagram setakat pukul 3.20 pagi (waktu tempatan).
GSF berkata, sebanyak 13 bot dan kapal telah dipintas oleh Israel sekali gus tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Penangkapan haram oleh Israel tidak akan menghalang kami.
“Kami meneruskan misi untuk memecah sekatan dan membuka koridor kemanusiaan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu perkongsian Nadir Al-Nuri di akaun Facebook sebentar tadi memaklumkan kapal yang dinaikinya iaitu Jong berada kira-kira 48.7 batu nautika dari perairan Gaza.
Jelasnya, dia dan keseluruhan peserta di atas kapal telah melepasi sekatan ketika berada dalam jarak 120 batu nautika ke Gaza selain telah melepasi titik kapal Madleen yang sebelum ini dipintas oleh Israel.
“Sekarang kami telah melepasi titik dimana kapal Handala sebelum ini dipintas oleh zionis. Dijangka sampai perairan Gaza hari Jumaat pukul 1 petang (waktu Gaza,” tulisnya.
Misi GSF disertai kira-kira 44 bot serta kapal dari seluruh negara bagi memecah kepungan di Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.
Sebelum ini, beberapa kapal yang membawa seramai 12 sukarelawan Malaysia telah dipintas serta diceroboh tentera Israel ketika pelayaran berlaku.
Antara kapal tersebut adalah Alma, Hio, Huga, Sirius dan Grande Blu.
Setakat ini sukarelawan Malaysia yang berada dalam tahanan Israel ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil.
Selain daripada itu termasuklah Zizi Kirana, Farah Lee, Danish Nazram (Grande Blu), Heliza Helmi (Hio) dan Hazwani Helmi (Hio).- KOSMO! ONLINE