KUALA LUMPUR – Suasana hiba menyelubungi pengebumian bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tun Dr. Mohamed Hashim Mohd. Ali di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Pengebumian bermula pukul 10.30 malam itu dilaksanakan dengan penuh adat istiadat ketenteran menerusi Operasi Rampai sebagai tanda penghormatan tertinggi ATM terhadap bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Kira-kira 560 orang termasuk waris dan keluarga serta kenalan hadir di sini, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid Kementerian Pertahanan selepas solat isyak hari ini.
Antara yang hadir menziarahi jenazah termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta barisan panglima perkhidmatan serta bekas-bekas panglima ATM.
Allahyarham Jeneral Tun Dr. Mohamed Hashim meninggal dunia pada usia 90 tahun kira-kira pukul 11.52 pagi, hari ini.
Beliau yang dilahirkan di Ipoh, Perak merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom sebelum kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.
Sepanjang perkhidmatan, beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan utama seperti Panglima Rajang Security Command (RASCOM), Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat, sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera kesembilan dari tahun 1987 hingga 1992.
Markas ATM memaklumkan, Allahyarham dikenang sebagai pemimpin yang membawa perubahan besar terhadap hala tuju pertahanan negara. – KOSMO! ONLINE