PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) sebagai satu langkah konkrit untuk mengurangkan birokrasi selain mempercepatkan proses pertukaran penempatan dan menjaga kebajikan warga kesihatan.
KKM berkata, fasa pertama pelaksanaan Sistem P3S bermula 1 Oktober dan akan dibuka kepada skim jururawat di bawah Bahagian Kejururawatan.
“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan rasmi: https://p3s.moh.gov.my. Semua syarat kelayakan dan tatacara permohonan boleh dirujuk dalam garis panduan di portal tersebut.
“Sebelum ini, proses pertukaran pegawai KKM dilaksanakan secara manual dan disebabkan jumlah permohonan tinggi, proses sering mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
P3S kini menjadi platform rasmi untuk mempercepat padanan, memperkemas aliran kerja serta menjadikan proses lebih telus dan adil tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada.
KKM berkata, melalui pelaksanaan sistem ini, proses pertukaran akan menjadi lebih mudah, cepat dan telus.
“Pentadbiran di peringkat Pejabat Tanggungjawab (PTJ) hanya perlu mengesahkan kelayakan
pegawai dan surat penempatan baharu akan dijana secara automatik selepas padanan berjaya dibuat.
“Pegawai terlibat perlu melapor diri serentak di lokasi penempatan baharu pada tarikh kuat kuasa rasmi,” katanya.
Selepas skim jururawat, P3S akan diperluas secara berfasa mulai 2026 kepada skim Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi.
“Pelaksanaan P3S mencerminkan komitmen KKM dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan warga kerja kesihatan, mengurangkan kerenah birokrasi dan seterusnya meningkatkan kecekapan
pentadbiran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE