DALAM landskap kerja hibrid masa kini, komunikasi yang jelas dan tanpa gangguan menjadi tonggak utama produktiviti.
Sama ada ketika berada di pejabat, bekerja dari rumah atau dalam perjalanan, kualiti audio memainkan peranan penting untuk memastikan perbincangan berlangsung lancar.
Menyedari cabaran ini, Dell Technologies memperkenalkan Dell Pro Plus Earbuds (EB525), fon telinga pertama mereka yang direka khusus untuk memenuhi tuntutan kerjasama moden.
Menurut perkongsian dari pihak Dell menerusi e-mel, fon telinga baharu ini menampilkan gabungan teknologi pintar berasaskan AI dengan rekaan ergonomik yang selesa dipakai sepanjang hari.
“Dell Pro Plus Earbuds menawarkan penapisan hingar canggih, pengoptimuman suara serta kemudahan pengurusan untuk pasukan IT.
“Dengan pensijilan rasmi untuk Microsoft Teams Open Office dan keserasian penuh dengan Zoom, ia memastikan pengguna menikmati pengalaman komunikasi profesional tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Tambahnya, salah satu masalah besar yang dihadapi organisasi ialah penggunaan peranti audio gred pengguna yang tidak sesuai dalam suasana kerja.
Bunyi bising latar belakang seperti anjing menyalak atau cawan berketuk sering mengganggu kelancaran mesyuarat.
Oleh yang demikian, Dell Pro Plus Earbuds hadir sebagai penyelesaian dengan kualiti audio bertaraf premium yang mampu mengekalkan fokus walaupun dalam persekitaran bising.
“Ia turut dilengkapi Adaptive Active Noise Cancellation (ANC) yang mampu menyesuaikan tahap penapisan hingar secara dinamik.
“Selain itu, terdapat mod Enhanced Transparency untuk membolehkan pengguna tetap peka dengan keadaan sekeliling,” ujarnya.

Bagi pasukan IT, pengurusan peranti audio yang pelbagai sering memakan masa dan kos. Dell Pro Plus Earbuds mengatasi isu ini dengan papan pemuka berpusat untuk konfigurasi, kemas kini firmware, dan pemantauan fleet secara mudah.
Ia direka untuk berintegrasi lancar dengan laptop, dock dan perisian Dell, sekali gus menghapuskan masalah ketidakserasian peranti yang sering membelenggu organisasi.
Dari segi reka bentuk, fon telinga ini menekankan keselesaan sepanjang hari dengan empat pilihan saiz silikon telinga iaitu XS, S, M, dan L yang jarang ditawarkan oleh pesaing.
Ditambah dengan rekaan ringan serta tahan lasak dengan penarafan IP54, ia sesuai digunakan dalam pelbagai situasi, termasuk ketika bekerja dalam perjalanan.
“Kotak pengecas padat pula memberikan kemudahan mobiliti dengan sambungan fleksibel, manakala Dell Wireless USB-C Audio Receiver disimpan terus di dalam bekas untuk kegunaan segera.
“Teknologi AI turut memperkukuh kemampuan mikrofon dengan model neural network yang dilatih menggunakan lebih 500 juta sampel hingar. Ini memastikan suara pengguna diasingkan dengan jelas tanpa gangguan,” kongsinya.
Katanya lagi, Dell juga menawarkan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menyesuaikan ekualiser, tetapan transparensi dan preset audio mengikut cita rasa masing-masing.
Tambahan pula, sambungan Bluetooth 5.3 dengan multi-host pairing membolehkan sehingga lapan peranti disambungkan memudahkan peralihan antara komputer riba, telefon pintar dan tablet.
Dengan harga RM698, Dell Pro Plus Earbuds bukan sekadar aksesori audio, tetapi sebuah pelaburan dalam produktiviti organisasi.
Ia melambangkan bagaimana inovasi berpandukan maklum balas pelanggan dapat mengubah cara pasukan bekerja, berhubung dan bekerjasama.
Dalam dunia kerja moden yang menuntut fleksibiliti, Dell menetapkan penanda aras baharu bahawa masa depan audio tempat kerja bukan hanya soal teknologi, tetapi bagaimana ia dapat memperkasa manusia untuk mencapai yang terbaik.















