PETALING JAYA – Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober depan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, melalui pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95), warganegara Malaysia boleh menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
Katanya, di bawah program itu rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak 61 sen seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Bagi permulaan, harga runcit RON95 akan kekal pada harga RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025,” katanya.
Susulan itu, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 30 September 2025 hingga 8 Oktober 2025 adalah ditetapkan seperti berikut.
“Harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter; harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi warganegara di bawah BUDI95 ditetapkan pada RM1.99 seliter; harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada RM2.05 seliter,” katanya.
Selain itu, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM2.93 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Bagi pemandu e-hailing, Kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) bagi mengenalpasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, MOF bersama APAD akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan pihak EHO minggu ini.
“Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah and Sarawak layak untuk harga bersubsidi.
“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan Kerajaan Negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi Budi95,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE