KUALA LUMPUR – Pempengaruh Rafidah Ibrahim dibenar memasukkan kehadiran oleh Mahkamah Tinggi di sini dalam saman fitnah yang dikemukakan terhadapnya oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung isu Kampung Sungai Baru.
Perkara itu dimaklumkan peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili Khalid selepas pengurusan kes saman itu secara e-review yang dikendalikan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin.
Menurut peguam tersebut dalam prosiding hari ini, Rafidah selaku defendan memasukkan kehadirannya menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin .
“Kami bantah kerana (defendan) masukkan kehadiran lewat dan mohon teruskan dengan permohonan penghakiman ingkar. Tetapi Mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Aturan 12 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Jadi kehadiran Rafidah diterima.
“Namun mengikut Aturan 12 Kaedah 5, Rafidah tidak boleh memfailkan Pembelaan kecuali dibenarkan oleh Mahkamah,” kata peguam itu.
Sebelum ini, peguam Khalid mengesahkan telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Rafidah selepas kegagalan aktivis itu memasukkan notis kehadiran bagi menjawab saman tersebut.
Beliau menjelaskan, Rafidah mempunyai tempoh 14 hari untuk memasukkan kehadiran bermula dari tarikh afidavit penyampaian ganti diikrarkan pertengahan bulan lalu, namun tempoh itu telah tamat. – KOSMO! ONLINE