fbpx
Sakinah memuji komitmen dan disiplin anak saudaranya, Auddra kini yang bertanding dalam program Talk To My Manager (TTMM).

‘Auddra bukti bertanding itu seronok, peserta lain nampak tertekan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon Sharifah Sakinah menyifatkan anak saudaranya, Auddra Zulkifli sebagai seorang remaja yang berfikiran matang kerana tidak mudah termakan dengan komen negatif dan kecaman netizen.

Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 36, berkata, Auddra tetap perlu menerima setiap pesanan ahli keluarga yang bergelar anak seni agar sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk apabila berdepan dengan pihak media.

“Saya bangga sebab dia tak kisah dengan kata-kata orang, bahkan tidak baca pun semua komen itu.

“Cuma saya pesan jangan abaikan nasihat keluarga kerana kami sudah lama dalam industri, lebih berpengalaman dan sudah kena macam-macam.

“Contohnya dia kena tahu bagaimana nak jawab dengan pihak media dan sebagainya. Audrra sangat beruntung sebab ada kami yang sentiasa menyokong di belakangnya,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media filem Qifarah di sini, semalam.

Tambahnya, dia kagum melihat kesungguhan Auddra dalam memberi persembahan menghiburkan setiap minggu di pentas TTMM tanpa sebarang tekanan untuk mengejar kemenangan.

“Pertandingan bukan sebab nak menang atau kalah tetapi berseronok.

“Auddra adalah figura yang tunjukkan kita bahawa pertandingan adalah menyeronokkan dan tiada tekanan. Peserta lain nampak tertekan.

“Kenapa kita perlu beri tekanan kepada gadis umur 16 tahun. Dia boleh lakukan apa sahaja di pentas dan saya mahu dia berseronok sahaja,” ujarnya.

Sakinah menambah, dia mengakui Auddra memiliki karakter yang hampir sama dengannya namun memiliki aura berbeza ketika membuat persembahan.

Dia juga yakin Audrra bakal bergelar seorang penghibur yang hebat Dan mampu memberi contoh kepada generasi muda satu hari nanti sekiranya bakat digilap dengan baik.

“Perwatakan kami agak serupa tetapi dia lebih berani daripada saya.

“Bila di atas pentas, saya nampak dia ada pesona seorang ‘superstar’ dan boleh pergi jauh.

“Dulu saya jenis langgar habis semua benda tetapi dia tahu nak bawa diri dan nak cakap apa di depan kamera walaupun ayat tak tersusun,” jelasnya.

Terdahulu, Auddra atau mesra disapa Odah mula mencuri perhatian selepas menyertai TTMM bersama ibunya yang juga penyampai radio, Sharifah Shahira.

Dalam perkembangan lain, Sakinah bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Qifarah arahan Ghaz Abu Bakar yang akan menemui penonton di pawagam bermula 9 Oktober ini.

Filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Remy Ishak, Liyana Jasmay, Rita Nadira, Vanida Imran, Namron dan Esma Daniel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI