SELURUH komuniti bola sepak negara harus kekal bersatu untuk ‘mengusir’ agenda tidak baik selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berdarah warisan negara dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail percaya ada agenda yang lebih besar menentang Malaysia walaupun segala urusan kewarganegaraan tujuh pemain warisan dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) sudah jelas menyatakan proses untuk memberikan kerakyatan kepada tujuh pemain itu dibuat berdasarkan perlembagaan kita, undang-undang dan pertimbangan berhati-hati.
“Kita perlu sentiasa menyokong proses rayuan dan bersatu di belakang pasukan kebangsaan kita, bukan menyemai rasa kurang harmoni dan perpecahan. Ada agenda lebih besar menentang Malaysia, saya pasti mengenai perkara itu,” katanya menerusi IG Story.
Dalam ciapan itu juga, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi kenyataan Saifuddin yang menjawab isu kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19 (1), Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, semakan yang dilakukan menyaksikan Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain berkenaan diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) setiap seorang.
Tujuh permain itu ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero
Lebih perit apabila semua tujuh pemain itu juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuatkuasa daripada notis dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE